Pengurusan harta secara sistematik dan teratur adalah sangat
penting bagi pemilik harta dan juga bakal penerima harta. Pemilik harta bertanggungjawab
untuk membuat perancangan awal bagi mengelakkan kesukaran, pertikaian atau
perebutan di kemudian hari.
Pengurusan harta yang baik juga dapat memastikan manfaat dan
kebaikan daripada harta tadi, dapat sampai kepada orang-orang yang berhak menerimanya.
Perancangan dalam pengagihan harta ini perlulah dibuat
semasa pemilik harta masih hidup. Persediaan yang sewajarnya perlu dilakukan
supaya harta-harta yang dimiliki dapat diagihkan kepada para waris atau bakal
penerima yang telah ditetapkan , apabila pemilik harta meninggal dunia kelak.
Maksud Faraid
Faraid dari segi bahasa membawa maksud ‘ketetapan’ . Ia
adalah kata jamak bagi faridhoh yang bermaksud sesuatu yang diwajibkan atau
ditetapkan. Hal ini kerana dalam hukum faraid, pembahagian harta yang berlaku
adalah tertakluk kepada ketetapan yang telah diputuskan oleh syarak.
Dari segi istilah syarak pula, faraid ialah bahagian yang
telah ditetapkan oleh syarak kepada para pewaris.
Harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta
yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah,
hutang-hutang pewaris sama ada bentuk agama (Zakat, Nazar dll) atau segala
hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan syarak.
Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid adalah:
- Tanah, bangunan ( rumah, kilang, gudang dll);
- Barang kemas (emas, perak dll);
- Insurans, saham, bon, wang tunai, dll ( sama ada dilabur atau tidak);
- Tanah, kebun, ladang dll;
- Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.
Ilmu faraid ialah salah satu cabang ilmu yang memfokuskan
kepada aspek penyelesaian masalah agihan harta peninggalan si mati. Ilmu ini
menjelaskan secara terperinci siapakah yang berhak menerima harta dan berapa
bahagian atau kadar yang telah ditetapkan untuknya. Ilmu ini juga mempunyai
satu kaedah pengiraan yang tersendiri dalam soal agihan harta kepada
waris-waris secara adil dan tepat.
Harta pusaka yang disebutkan di sini ialah suatu hak milik
yang boleh dibahagikan kepada ahli waris yang layak selepas kematian si pemilik
harta dan agihan ini adalah tertakluk kepada hubungan kekeluargaan.
Ahli waris bermaksud,orang yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan si mati sama ada melalui
- hubungan perkahwinan yang sah, iaitu suami/isteri,
- hubungan keturunan seperti ibu, bapa, adik-beradik dan juga anak.
- Hubungan wala’ iaitu bekas pemilik hamba kepada si mati yang sebelumnya ialah seorang hamba dan kemudiannya dibebaskan
Ahli-ahli waris berhak terhadap harta pusaka dan kadar
bahagian yang sepatutnya mereka terima berbeza kadarnya mengikut kedudukan masing-masing
dalam hierarki pewarisan faraid, yang sudah ditetapkan oleh Allah. Kadarnya
ialah seperti 1/2, 1/4, 1/8, 1/3, 2/3, atau 1/6.
Dalil dari Al-Quran
Hal berkenaan faraid ada disebutkan dalam Al-Quran dalam
Surah An-Nisa’, ayat 7 dan juga Surah Al-Anfaal ayat 75 yang bermaksud:
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu
bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan
ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan
itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)”
“Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian
kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab
Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
Jenis Harta Faraid
Harta pusaka (Faraid) terbahagi kepada dua, iaitu:
a) Harta tidak alih seperti tanah dan rumah.
b) Harta alih seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP,
Tabung Haji, insuran, Koperasi, kenderaan, barang-barang kemas, dan
seumpamanya.
Ramai yang masih belum tahu bahawa pengagihan harta secara
faraid tidak boleh dilakukan serta merta selepas berlakunya kematian pemilik
harta. Ia akan mengambil tempoh yang panjang kerana terdapat banyak perkara
yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Proses agihan harta kepada ahli waris hanya boleh berlaku
setelah semua syarat-syarat di bawah ini telah dipenuhi dan dilaksanakan.
(i) Pewaris telah disahkan atau diisytiharkan meninggal
dunia sama ada secara hakiki, hukmi
atau taqdiri.
(ii) Ahli waris hendaklah wujud atau hidup pada saat
kematian pemilik harta, sama ada hidup secara hakiki atau taqdiri.
(iii) Mengetahui status dan habuan ahli waris serta tidak
ada halangan perwarisan, seperti pembunuhan, perhambaan dan perbezaan agama.
Seterusnya, terdapat beberapa hak yang wajib ditunaikan mengikut
susunan di bawah, oleh ahli-ahli waris iaitu:
(i) Menjelaskan perbelanjaan pengkebumian dan pengurusan
jenazah
(ii) Menjelaskan
hutang-hutang si mati sama ada hutang dengan Allah atau hutang sesama manusia
(iii) Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian oleh salah
seorang suami atau isteri yang masih hidup jika harta itu diperolehi dalam masa
perkahwinan dan kedua-dua pihak masing-masing ada sumbangan sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Kadarnya akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
(iv) Melaksanakan wasiat yang dibuat oleh si mati (jika ada)
atas kadar 1/3 daripada harta pusaka selepas dijelaskan perkara-perkara di atas.
Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris yang berhak kepada harta
pusaka walaupun kadarnya kurang daripada 1/3, kecuali ahli-ahli waris lain
bersetuju dengan wasiat tersebut dan persetujuan itu diperolehi selepas
kematian dan bukan pada masa hidup pewasiat.
Islam amat mentikberatkan soal pengurusan dan pengagihan harta dengan cara yang menepati hukum syarak, seperti hibah, faraid, wasiat dan juga wakaf.
Kepelbagaian instrumen pengurusan harta dalam Islam, menunjukkan bahawa agama ini adalah satu agama yang syumul dan menyediakan garispanduan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan kepada penganutnya.
Pewarisan
harta perlu diuruskan dengan cekap dan amanah
supaya harta itu dapat diagihkan secara adil, kepada yang benar-benar berhak,
sepertimana yang telah dirancang.