''Jika ayah meninggal nanti, ayah wasiatkan kepada kamu, Ahmad untuk mewarisi semua harta pusaka ayah.''
Adakah 'wasiat' secara lisan ini dan mungkin hanya bicara antara si ayah dengan anaknya yang bernama Ahmad sahaja atau disaksikan oleh orang lain yang boleh dijadikan saksi untuk membuktikan bahawa 'wasiat' tersebut adalah sah disisi agama dan undang-undang?
Inilah antara situasi yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Kesedaran dan pengetahuan tentang wasiat masih lagi cetek walaupun kita sering menyebut perkataan wasiat. Jadi, di sini, saya kongsikan 6 salah faham tentang wasiat yang diambil dari Laman Web MAIS.
6 Salah Faham Tentang Wasiat
1) Wasiat memadai dengan lisan sahaja
Banyak masalah yang berlaku di luar sana adalah kerana wasiat yang hanya disampaikan secara lisan sahaja dan tanpa dokumen khusus atau dokumen wasiat yang rasmi. Salah seorang anak mendakwa, arwah bapa pernah memesan untuk beri sebidang tanah kepadanya selepas arwah bapa mati. Tetapi waris-waris lain tidak mengetahui malah tidak mengakui pesanan tersebut. Malahan waris-waris lain mengatakan bahawa beliau ‘memandai-mandai’ sahaja menyatakan arwah bapa ada membuat pesanan (wasiat) tersebut. Bagaimana untuk mengatasi perkara ini? Sebenarnya, bagi kita yang masih hidup, wasiat yang ingin dibuat hendaklah DIDOKUMENKAN SECARA RASMI. Ada arahan pembahagiannya dan ada arahan kepada siapa penerimanya. Tetapi, bagaimana jika wasiat itu telah dilafazkan secara lisan dan pewasiat telah meninggal dunia tanpa ada saksi lain mendengar wasiat tersebut? Dalam hal ini, wasiat tersebut perlu disahkan di Mahkamah Syariah dengan memohon pengesahan wasiat selaras dengan peruntukan contohnya di bawah Seksyen 61(3)(b)(v), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Jika mahkamah mengesahkan wasiat tersebut, maka wasiat tersebut adalah sah dan boleh dilaksanakan. Namun, jika mahkamah memutuskan wasiat tersebut tidak sah, maka harta pusaka si mati hendaklah dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.
2) Wasiat wajib diikuti
Ramai masyarakat menganggap wasiat wajib diikuti jika pewasiat itu adalah bapa yang mewasiatkan harta kepada anak-anak. Sebenarnya, wasiat dalam keadaan begitu adalah wasiat kepada waris dan TIDAK WAJIB DIIKUTI. Ia kerana, dari segi hukum, wasiat tidak harus kepada waris bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)
Dalam hal ini, sekiranya waris-waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat oleh pewasiat selepas pewasiat meninggal dunia, maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan. Tetapi jika waris-waris tidak setuju, ia kembali kepada hukum faraid iaitu harta pusaka si mati hendaklah dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.
Tetapi sekiranya penerima wasiat tersebut bukan waris contohnya anak angkat, cucu atau saudara yang terhalang terima pusaka, jiran, kawan sekerja dan seumpamanya, maka wasiat tersebut wajib dilaksanakan.
3) Wasiat tidak boleh diubah
Ramai juga salah faham bahawa wasiat adalah sesuatu pesanan yang tidak boleh diubah. Ini adalah pemahaman yang salah sama sekali. Wasiat sebenarnya BOLEH DIUBAH selagi pewasiat masih hidup. Ini kerana, wasiat hanyalah pesanan sahaja dan terimaan (qabul) hanya berlaku selepas pewasiat meninggal dunia. Walaupun penerima wasiat bersetuju (tandangan) dengan wasiat yang dibuat oleh pewasiat, persetujuan penerima wasiat tersebut adalah tidak terpakai lagi kerana penyempurnaan wasiat tersebut hanya akan dilakukan selepas pewasiat meninggal dunia. Ini bermakna, selagi pewasiat masih hidup, pewasiat masih bebas untuk meminda wasiat yang telah dibuat selari dengan hasrat yang ingin dilaksanakan kepada benefisiari-benefisiarinya.
4) Boleh wasiat semua harta
Ada juga yang memahami semua harta boleh diwasiatkan. Jika orang bukan Islam, mereka boleh mewasiatkan kesemua harta kepada sesiapa yang diingini. Tetapi keadaan ini tidak sama kepada orang Islam. WASIAT ORANG ISLAM ADALAH SETAKAT 1/3 SAHAJA daripada harta bersih peninggalan pewasiat yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengkebumiannya dan penunaian hutang-hutangnya.
Wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Riwayat al-Bukhari)
5) Penerima wasiat hanya orang Islam sahaja
Sebenarnya, WASIAT BOLEH DIBERIKAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM pada kadar tidak melebihi 1/3 bahagian. Lebih-lebih lagi sekiranya pewasiat mempunyai ibu bapa atau waris yang berlainan agama. Ini kerana perbezaan agama menjadikan ibu bapa pewasiat sebagai waris yang terhalang menerima harta pusaka. Oleh itu, mereka boleh menerima wasiat, sekiranya wasiat tersebut sebahagiannya diberikan kepada mereka.
6) Tiada harta bermakna tak perlu wasiat
Ramai orang sering memberi alasan atas salah faham mereka dengan mendakwa tiada harta yang ingin diwasiatkan. Wasiat bukan sekadar pesanan pembahagian harta sahaja. Tetapi, ia adalah pesanan untuk melantik WASI kepada harta pusaka miliknya. Jika pemilik harta mempunyai hutang, ia wajib diselesaikan dan wajib untuknya membuat wasiat. Malahan, pemilik harta juga boleh membuat pesanan untuk melantik mana-mana penjaga kepada anaknya yang masih di bawah umur, atau menyatakan sesuatu harta yang dipegang itu bukan miliknya yang perlu dikembalikan kepada pemilik asal. Bermaksud, apa sahaja pesanan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak boleh dinyatakan dalam dokumen wasiat.
Untuk itu, jom kita ambil cakna, semoga ia adalah ilmu yang membawa kesedaran kepada kita bahawa wasiat adalah perkara yang sangat penting dan sangat digalakkan untuk dibuat semasa kita masih hidup.
Credit kepada sumber artikel dan boleh di baca DI SINI.