Kami Uruskan Perancangan Pusaka,Wasiat,Hibah dan Urusan Pusaka Arwah. JANGAN TANGGUH! Hubungi kami segera!

Beza Wasiat dengan Hibah

 

beza wasiat dengan hibah


Hibah dari segi istilah syarak, membawa maksud suatu akad yang mengandungi pemberian harta atau pemindahan milikan harta, oleh seseorang, secara sukarela kepada seseorang yang lain pada masa keduanya masih hidup, dan tidak mengharap apa-apa balasan daripada pemberian itu dan tidak mempunyai maksud atau tujuan tertentu. 

Pemberian ini dibuat atas dasar kasih sayang dan ia berbeza daripada instrumen pembahagian harta yang lain dalam Islam, termasuklah wasiat.


Wasiat pula ialah pemindahan milikan harta atau manfaat daripada harta, yang diberikan kepada bukan ahli waris dan pemindahan ini dilaksanakan selepas kematian pemilik harta. Penerima wasiat boleh terdiri daripada individu atau pertubuhan seperti anak angkat, cucu dan juga badan-badan kebajikan.

  

Perbezaan ketara antara wasiat dengan hibah ialah:


  • Pemberian Hibah berlaku ketika pemilik harta masih hidup dan wasiat pula ialah pesanan yang dibuat semasa hidup, tetapi agihannya hanya berkuatkuasa selepas kematian pemilik harta.

  •  Pemberian hibah kepada penerimanya, dibuat atas dasar kasih sayang semata-mata, manakala wasiat mungkin mempunyai maksud dan tujuan pemberian yang tertentu

  • Dalam pembahagian harta secara hibah, pemilik harta boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, sama ada dalam kalangan ahli waris atau pun bukan, dan tidak mengambil kira faktor agama atau hierarki keturunan.

Seorang suami boleh menghibahkan wang atau rumah kepada isterinya sebagai jaminan tempat tinggal sekiranya berlaku kematian suami. Rumah itu akan terkeluar daripada pembahagian harta secara faraid dan tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Bagi yang mempunyai anak angkat pula, kaedah pembahagian harta secara hibah lebih sesuai digunakan kerana anak angkat tidak termasuk dalam ahli waris yang layak menerima pusaka.

Dalam konteks perbezaan agama pula, pemilik harta boleh menghibahkan hartanya kepada ahli keluarga yang bukan Islam. Jika dilihat dalam kaedah faraid, perbezaan agama antara pemilik harta dengan ahli waris menimbulkan halangan pewarisan dan mereka tidak boleh saling mewarisi.

Dalam wasiat pula, harta hanya boleh diberikan kepada bukan ahli waris sahaja.

  • Jumlah harta yang boleh dihibahkan adalah tidak terhad, tiada jumlah minimum atau maksimum dan mengikut kehendak pemilik harta, tetapi dalam wasiat, hanya sejumlah 1/3 nilai harta sahaja yang dibenarkan untuk diagihkan, setalah diselesaikan perbelanjaan perlu yang lain seperti kos pengurusan jenazah, hutang-hutang dan juga harta sepencarian.

 Suami boleh menghibahkan harta yang lebih kepada isteri sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas suami seperti sakit kritikal dan juga kematian. Wang hibah dan juga harta lain seperti rumah, dapat menjamin kelangsungan hidup  isteri dan anak-anak selepas kematian ketua keluarga.

Kalau mengikut sistem wasiat, isteri dan anak-anak tidak layak menerima harta kerana termasuk dalam ahli waris. Ahli waris hanya akan menerima harta melalui pembahagian faraid dan dalam kaedah ini, bahagian isteri sangat sedikit jika dibandingkan dengan waris-waris yang lain.

Kekurangan ini dapat diatasi sekiranya para suami sudah bersiap sedia dengan hibah kepada isteri, sebagai jaminan kewangan dan kelangsungan hidup untuk tahun-tahun yang akan datang bersama anak-anak , yang pastinya memerlukan perbelanjaan yang besar.

  • Pembahagian harta secara hibah dapat dilaksanakan dengan cepat berbanding dengan kaedah wasiat, yang perlu menunggu untuk tempoh yang agak lama, kerana perlu menyelesaikan perkara-perkara yang lain seperti tuntutan harta sepencarian di mahkamah yang pastinya tidak akan selesai dalam masa yang singkat. Hutang-hutang si mati juga perlu dijelaskan terlebih dahulu dan diselesaikan kos pengkebumian dan pengurusan jenazah.

  • Melalu pemberian hibah, pemilik harta boleh menentukan siapakah yang lebih sesuai menerima hartanya, berdasarkan kedudukan ekonomi dan keperluan semasa setiap individu, yang pastinya berbeza-beza.

Jumlah harta yang lebih boleh diberikan secara hibah kepada isteri dan anak perempuan, contohnya, kerana bahagian yang bakal diperolehi apabila harta difaraid selepas kematian adalah kecil berbanding ahli waris yang lain.

Seorang bapa juga boleh menghibahkan hartanya kepada anak-anak yang lebih memerlukan dari sudut ekonomi.


 

wasiat

Hibah dan wasiat, kedua-duanya adalah instrumen pengurusan dan perancangan harta yang sangat penting dalam Islam. Pelaksanaan salah satu kaedah atau gabungan keduanya, dapat mengelakkan berlakunya perebutan harta atau pertikaian, sekiranya dibuat dengan cara yang betul dan bijaksana.