Kami Uruskan Perancangan Pusaka,Wasiat,Hibah dan Urusan Pusaka Arwah. JANGAN TANGGUH! Hubungi kami segera!

Apakah Hibah?

 

apakah hibah

Hibah berasal daripada perkataan Bahasa Arab ‘wahaba’ yang bermaksud pemberian. 

Secara istilahnya, dapat difahami bahawa hibah ialah suatu pemberian yang bukan untuk mengharapkan sebarang balasan dan tidak mempunyai apa-apa tujuan.

Cendekiawan Islam, Al-Khatib al-Syarbini mendefinasikan hibah sebagai pemberian hak milik sesuatu barangan secara sukarela,tanpa memerlukan sebarang tukaran atau balasan pada masa hidup si pemberi.

Pemberian ini adalah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada orang yang menerimanya.Penerima pula boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, dan bukan terhad dalam kalangan ahli keluarga, ada kaitan nasab keturunan atau yang beragama Islam sahaja.



Dalil berkenaan amalan hibah dalam Al-Quran terkandung di dalam surah Al-Baqarah, ayat 177 :

“ Bukanlah perkara kebajikan ituhanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat, sekalian malaikat dan segala kitab dan sekalian nabi; dan menderma seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi”


 

hibah harta

Bagi yang memiliki sejumlah harta semasa hayatnya, perancangan yang rapi perlu dilakukan tentang bagaimana harta-harta itu akan dibahagikan nanti sebelum kematian dan juga selepas kematian.

Wasiat melibatkan pembahagian harta selepas kematian manakala hibah pula ialah konsep pengagihan harta yang dilaksanakan semasa pemilik harta masih hidup.


Ciri-ciri spesifik hibah adalah seperti berikut:

  • Suatu akad pemberian milikan harta kepada suatu pihak yang lain
  • Harta yang boleh dibahagikan secara hibah mestilah wujud secara konkrit (Nampak, ada, jelas, ‘ain’) dan bukannya sekadar manfaat di atas kertas
  • Akad hibah berkuatkuasa semasa hayat penghibah
  • Hibah dibuat secara sukarela tanpa paksaan atau pengaruh daripada mana-mana pihak
  • Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau pun memuliakan seseorang. Dalam kata lain, hibah berbeza sifatnya dengan sedekah dan juga hadiah.

 

Terdapat perbezaan ketara antara maksud wasiat, sedekah, hadiah dengan hibah.

 

Wasiat ialah pindahmilik harta atau manfaat untuk tujuan beramal jariah kepada bukan ahli waris dan dibenarkan hanya setakat 1/3 daripada nilai harta. Wasiat berkuatkuasa selepas berlakunya kematian pemilik harta.Penerima wasiat boleh terdiri daripada bukan ahli waris, iaitu sama ada anak angkat, cucu, individu tertentu, pertubuhan atau pun badan-badan kebajikan.


Sedekah pula bermaksud pemberian sesuatu harta atas tujuan mendapatkan ganjaran pahala di akhirat. Sedekah diberikan kepada golongan yang mengalami kesusahan atau kesempitan dengan tujuan meringankan bebanan mereka.

 

Hadiah pula bermaksud suatu pemberian yang bertujuan untuk memuliakan seseorang dan biasanya ada hubungkait dengan sesuatu perkara.

 

Yang membezakan hibah dengan semua ini ialah tujuan pemberian harta tersebut. Hibah ialah satu pemberian harta daripada pemilik kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang dan tidak mempunyai apa-apa tujuan atau maksud yang tersirat, serta tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada pemberian itu.

 

Rukun Hibah

  1. Pemberi hibah
  2. Penerima Hibah
  3. Benda yang dihibahkan
  4. Penawaran dan penerimaan (ijab dan qabul)

 

Syarat sah Pemberi Hibah

  1. Penghibah mestilah pemilik yang sah ke atas harta
  2. Tidak wujud sebarang halangan ke atas pemilikan atau pengurusan harta
  3. Penghibah mestilah sempurna akal, baligh dan bijak mengurus harta
  4. Hibah mestilah berlaku dengan rela hati, tanpa paksaan atau pengaruh

 Syarat Sah Penerima Hibah

  1. Boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim
  2. Penerima adalah mukallaf, yakni berkemampuan untuk memiliki dan menguruskan harta hibah.Dalam keadaan di mana penerima hibah belum baligh atau kurang upaya,hibah boleh diberikan kepada wali atau pemegang amanahnya.
  3. Penerima hibah juga disyaratkan wujud semasa proses hibah dijalankan

 

Barangan atau harta yang dihibahkan pula, mestilah memenuhi syarat berikut:

  1. Harta yang halal
  2. Mempunyai nilai tertentu
  3. Milikan penuh penghibah
  4. Boleh dipindah milik
  5. Benar-benar wujud semasa akad
  6. Harta wujud secara berasingan dan boleh dipisahkan daripada harta yang tidak termasuk dalam hibah



Apakah jenis-jenis harta yang boleh dihibahkan?

  • Hartanah
  • Saham syarikat
  • Unit saham amanah
  • Polisi insurans atau takaful
  • Harta lain yang boleh dimiliki dan dipindah milik


hibah

 Islam amat mementingkan seseorang itu dapat menguruskan hartanya dengan baik kerana harta juga termasuk dalam amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Pengurusan dan perancangan ini sebaiknya dilakukan segera, ketika masih hidup sihat supaya tidak menimbulkan kesulitan berkaitan harta di kemudian hari.

Hibah boleh menjadi kaedah pembahagian harta terbaik kerana boleh diberikan kepada penerima yang benar-benar layak dan lebih memerlukan, berdasarkan penilaian pemilik harta. Pengurusan dan pengagihan harta secara bijaksana, menggunakan konsep hibah yang telah diberi garis panduannya dalam Islam, dapat mengelakkan berlakunya pertikaian dan masalah perebutan harta selepas kematian.

Pelaksanaan hibah di Malaysia pada masa kini semakin meluas dan terdapat banyak syarikat yang menawarkan khidmat rundingan dan pengurusan hibah di seluruh negara.