Kami Uruskan Perancangan Pusaka,Wasiat,Hibah dan Urusan Pusaka Arwah. JANGAN TANGGUH! Hubungi kami segera!

FAQ Mengenai Wasiat

Saya banyak menerima soalan-soalan berkaitan Wasiat. Jadi, bagi membantu memudahkan kita semua mendapatkan ilmu dan maklumat mengenai Wasiat, maka izinkan saya kongsikan di sini FAQ atau Soalan Lazim mengenai wasiat sebagai rujukan kita bersama. 


FAQ atau Soalan Lazim mengenai Wasiat yang saya senaraikan di bawah adalah sumber yang di ambil daripada laman web Majlis Agama Islam Selangor, Bahagian Harta Baitulmal. Anda boleh rujuk DI SINI atau membacanya di dalam entry di bawah ini. 




FAQ Mengenai Wasiat


1. Apa itu wasiat?
Wasiat ialah ikrar atau perakuan seseorang yang dibuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan hukum syarak, selepas dia mati. 



2. Bagaimana wasiat di syariatkan?
Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.  (Surah Al-Baqarah:180)
Walau bagaimanapun, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turun ayat mawarith 7, 11, 12 dan 176 surah Al-Nisa,  iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”. (Surah Al-Nisa’: 7)
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunnah dan dia mati sebagai seorang yang bertaqwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan” (Hadis riwayat Ibn Majah)


3. Apakah hukum berwasiat?
Hukum wasiat adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, contohnya seperti berikut:
  1. Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.
  2. Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
  3. Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
  4. Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
  5. Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.


4. Berapakah kadar harta yang boleh diwasiatkan?
Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan penunaian hutang-hutangnya. 



5. Bolehkah wasiat melebihi kadar 1/3 harta?
Wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).



6. Apakah rukun-rukun wasiat?
Rukun-rukun wasiat ialah pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan sighah.



7. Bagaimana kaedah untuk berwasiat?
Wasiat boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Wasiat MAIS atau secara atas talian dengan mengisi borang di laman web wasiat.com.my.

ATAU;
Anda juga boleh hubungi saya untuk berwasiat atau maklumat lanjut. 



8. Bolehkah wasiat kepada waris?
Jumhur ulama, menyatakan wasiat tidak boleh kepada waris kerana telah mempunyai pembahagian melalui faraid. Namun, jika ingin dilaksanakan juga wasiat tersebut perlu mendapat persetujuan di kalangan waris yang terlibat. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)



9. Anak angkat berhak terima wasiat?
Anak angkat berhak menerima wasiat sekiranya wasiat dibuat kepada mereka namun tidak boleh melebihi 1/3 bahagian.



10. Perlukah mendapat persetujuan waris jika diberi kepada anak angkat?
Tidak perlu, kerana itu hak pewasiat membuat kebajikan jika tidak lebih dari 1/3 bahagian.



11. Adakah wasiat boleh diberikan kepada bukan Islam?
Wasiat boleh diberikan kepada bukan Islam pada kadar tidak melebihi 1/3 bahagian. Lebih-lebih lagi sekiranya pewasiat mempunyai ibu bapa atau waris yang berlainan agama.



12. Adakah wasiat boleh dibatalkan?
Ya, wasiat boleh dibatalkan selagi pewasiat masih hidup.



13. Siapa yang boleh mengesahkan wasiat?
Hanya Hakim Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mengesahkan sesuatu wasiat.



14. Adakah wasiat sah secara lisan sahaja?
Wasiat sah secara lisan jika disaksikan oleh saksi-saksi namun perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah bagi menguatkuasakan wasiat tersebut.



15. Jika saya tiada harta, bolehkah berwasiat?
Boleh, wasiat bukan sekadar ada harta sahaja, jika mempunyai hutang wajib membuat wasiat dan jika ingin menyampaikan apa-apa pesanan kepada waris selepas kematian, digalakkan untuk membuat wasiat secara berdokumentasi.



16. Kenapa wasiat itu penting?
  1. Tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup.
  2. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.
  3. Pelantikan wasi akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.
  4. Pelantikan penjaga yang dipercayai akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda.
  5. Mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.


17. Adakah ramai orang Islam tidak membuat wasiat?
Ya, 90% umat Islam tidak membuat wasiat kerana tidak tahu kepentingan wasiat dan sikap suka menangguh-nangguhkan urusan berkaitan harta pusaka yang bakal ditinggalkan.



18. Kenapa orang Islam tidak tulis wasiat?
Orang Islam tidak menulis wasiat kerana sering memberi alasan yang menganggap tiada harta yang ingin diwasiatkan.



19. Apakah kesan yang berlaku bila tidak tulis wasiat?
  1. Tak sempat memberikan harta kepada orang yang disayangi;
  2. Kerugian tak buat kebajikan selepas mati (sedekah / wakaf);
  3. Harta pusaka tidak dapat diurus segera kerana tidak lantik wasi (pentadbir);
  4. Hutang si mati tidak dilangsaikan; dan
  5. Ketidakfahaman ahli keluarga boleh jadi pergeseran.


20. Siapakah yang patut membuat wasiat?
  1. Orang yang berharta
  2. Orang yang mempunyai anak angkat
  3. Orang yang tiada waris
  4. Orang yang tidak berkahwin
  5. Orang yang berhutang
  6. Muallaf


21. Kenapa saya perlu menyediakan dokumen wasiat?
Anda perlu menyediakan dokumen wasiat bagi memudahkan wasi mentadbir harta pusaka, hutang piutang dan hajat anda yang berbentuk kebajikan untuk dilaksanakan selepas kematian anda.



22. Apa akan berlaku sekiranya harta anda tidak diwariskan?
Sekiranya harta anda tidak diwasiatkan berkemungkinan akan menyukarkan waris untuk menuntut harta pusaka anda seperti akaun simpanan dan semasa di bank, akaun Lembaga Tabung Haji, tanah, rumah dan sebagainya yang akan dibekukan sehinggalah proses pentadbiran pusaka selesai.



23. Berapa lamakah proses pentadbiran pusaka akan selesai dan bila pula waris-waris saya akan menerima harta saya nanti?
Secara purata bagi kes si mati yang tidak mempunyai dokumen wasiat, proses pentadbiran pusaka mereka akan mengambil masa di antara 6 bulan hingga 3 tahun bergantung kepada kerjasama waris-waris dan kedudukan dokumen harta pusaka anda.



24. Bagi si mati yang mempunyai dokumen wasiat, berapa lama pula tempoh pentadbiran harta pusaka akan berjalan?
Secara purata, bagi kes si mati yang mempunyai dokumen wasiat pula, proses pentadbiran pusaka akan mengambil masa di antara 6 bulan hingga 1 tahun sahaja.



25. Di dalam tempoh waktu pentadbiran pusaka yang bertahun-tahun ini berjalan, apakah yang waris saya akan dapat?
Waris-waris tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta anda kecuali harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insurans.



26. Jadi, harta yang akan dibekukan hanyalah harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja manakala harta yang mempunyai penamaan seperti di atas akan tetap diperolehi oleh penama saya?
Ya. Harta yang dibekukan ialah harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja. Walau bagaimanapun, bagi harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insurans, penama yang dinyatakan hanyalah bertindak sebagai Wasi sahaja dan bukan tuan punya mutlak harta tersebut. Selepas mereka menerima harta-harta tersebut mereka perlu mengagihkannya semula kepada semua waris-waris mengikut Hukum Faraid.



27. Apakah perbezaan proses pusaka dengan dokumen wasiat dan proses pusaka tanpa dokumen wasiat?
Perbezaan pusaka dengan dokumen wasiat  kewujudan wasi yang dilantik. Apabila seseorang meninggal dunia tanpa dokumen wasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan di dalam pengurusan harta pusaka ialah semua waris perlu bermuafakat untuk melantik pentadbir harta pusaka. Biasanya, di sinilah halangan yang sering berlaku. Semua waris-waris perlu muafakat siapa yang akan dilantik sebagai pentadbir dan mereka perlu hadir di dalam perbicaraan pusaka. Jika salah seorang waris tidak bersetuju dengan pentadbir cadangan, proses selanjutnya tidak dapat dimulakan. Berlainan dengan kes yang mempunyai dokumen wasiat, wasi yang telah dilantik boleh memohon memulakan proses pentadbiran pusaka.



28. Apakah dokumen yang saya perlu kumpulkan untuk menyediakan dokumen wasiat saya?
Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah salinan pengenalan diri, geran tanah, rumah, nombor akaun KWSP, nombor akaun bank, nombor Amanah Saham Bumiputera dan seumpamanya.



29. Apakah itu Wasi dan apa peranannya?
Wasi ialah entiti yang dilantik oleh anda dan berperanan menguruskan wasiat dan harta pusaka serta menjalankan arahan-arahan lain di dalam dokumen wasiat.



30. Berapa lamakah tempoh untuk menyediakan dokumen wasiat di MAIS?
Tempoh untuk menyediakan wasiat di MAIS hanyalah 1 hari sahaja kerana MAIS mempunyai aplikasi penyediaan dokumen wasiat Islam atas talian yang dipanggil e-wasiat dan ini memudahkan MAIS menyediakan dokumen wasiat dengan cepat dan mudah di mana-mana sahaja.



31. Adakah perlantikan wasi sahaja memadai dalam dokumen wasiat?
Tidak. Walaupun elemen utama di dalam dokumen wasiat ialah pelantikan wasi, namun perkara-perkara lain juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat seperti cara pembahagian harta pusaka, perlantikan penjaga sah anak di bawah umur 18 tahun, peruntukan perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak malah bagaimana cara sesuatu perniagaan akan diwariskan juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat.



32. Adakah waris-waris boleh untuk tidak bersetuju dengan arahan cara pembahagian harta di dalam dokumen wasiat?
Waris-waris boleh untuk tidak bersetuju sekiranya arahan pembahagian harta wasiat dibuat kepada waris dan/atau melebihi kadar 1/3 bahagian. Dalam keadaan ini, hukum faraid akan terpakai dan boleh membatalkan sebahagian wasiat atau keseluruhannya.



33. Kalau arahan pembahagian itu boleh dicabar, apa gunanya saya membuat dokumen wasiat?
Seperti yang dinyatakan pada awalnya, dokumen wasiat disediakan bertujuan untuk menyempurnakan hasrat pewasiat yang ingin melaksanakan kebajikan selepas meninggal dunia terutama kepada anak angkat, waris yang terhalang mendapat pusaka dan sedekah.


*Kredit kepada Sumber Artikel iaitu Majlis Agama Islam Selangor, Bahagian Harta Baitulmal. 



Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi saya:
Whatsapp FairuzRamli: 0134555888